Umum mengetahui bahawa tuntutan di Mahkamah Syariah boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa adanya sekatan dari segi had masa. Ini jelas sekali berbeza dengan undang-undang sivil yang telah menetapkan secara terperinci tempoh masa yang dibenarkan bagi membuat tuntutan di Mahkamah seperti yang diperincikan di dalam Akta Had Masa.
Namun, bagi kes-kes jenayah ianya tidak dibatasi dengan had masa tertentu. Sekiranya cukup bukti untuk pihak pendakwaan membuat pertuduhan di Mahkamah, had masa bukanlah sesuatu elemen yang menghalang sesuatu pendakwaan dibuat terhadap Tertuduh.
Sebagaimana sistem perundangan yang lain, Perundangan Islam juga menitikberatkan konsep keadilan. Maka atas dasar itulah, umumnya tiada had masa bagi tuntutan-tuntutan Mal dibawa ke Mahkamah Syariah. Namun, sekiranya tempoh masa yang sangat lama telah berlalu, adakah pihak-pihak masih boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah?
Merujuk pada Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah, ianya tidak langsung menyentuh berkenaan dengan persoalan yang sama. Secara umumnya, Hukum Syara’ tidak mengiktiraf kaedah berlalunya masa yang lama sebagai penghalang untuk sesuatu kes di bawa ke Mahkamah. Walaubagaimanapun, Fuqaha’ telah menetapkan tempoh masa selama 33 tahun sebagai had masa bagi sebarang jenis tuntutan dibuat di Mahkamah.
Rasional terhadap penetapan tempoh sedemikian adalah bagi melicinkan perjalanan proses kehakiman dan supaya dapat dielakkan masalah pembuktian dan keraguan tentang asal hak sesuatu hartanah. Ini adalah merupakan pendapat Dr. Wahbah Zuhaily di dalam kitabnya Al-Fiqh Islami Wa Adillatuhu. Pandangan yang sama boleh dilihat dan digunapakai di dalam kes Tuan Awang Bin Tuan Mamat dan 7 Yang Lain lwn Tuan Alam Bin Tuan Ahmad dan Seorang Yang Lain JH XXII/II 1427H yang mana tuntutan Harta Sepencarian telah difailkan kira-kira 40 tahun dari tarikh kematian Tuan Mamat Bin Tuan Wook, pemilik berdaftar bagi hartanah.
Maka, secara praktikalnya adalah lebih baik sekiranya tuntutan-tuntutan dibuat dengan segera di Mahkamah. Sekiranya tidak, wajarlah dimaklumkan kepada Mahkamah alasan-alasan tuntutan tidak dibuat dengan segera. Ini bukan sahaja mengelakkan isu-isu pembuktian menjadi persoalan utama di dalam sesuatu kes. Akan tetapi isu utamanya adalah untuk mengelakkan tuntutan-tuntutan ini ditolak sepenuhnya oleh Mahkamah.