Ammar Muhammad
PENDAHULUAN
Perceraian kebiasaannya akan membangkitkan Tuntutan Hak Jagaan (Hadhanah) terhadap Anak. Tidak dinafikan bahawa ibu adalah berhak terhadap Hak Jagaan anaknya kerana ibu secara biasanya adalah seseorang yang boleh memberi kasih sayang yang sempurna kepada kanak-kanak.
Namun, haruslah diingat bahawa dalam Hadhanah, kebajikan kanak-kanak adalah melebihi dari perkara lain supaya tujuan hadhanah – iaitu mendidik, mengasuh, memberi kasih sayang kepada kanak-kanak tersebut adalah tercapai dan dilaksanakan dengan sempurna bagi menjamin masa depan kanak-kanak itu. Maka, dari aspek inilah, Mahkamah akan menentukan samada Bapa atau Ibu yang berhak terhadap Hadhanah kanak-kanak tersebut.
BAPA BERHAK TERHADAP HADHANAH SEKIRANYA:
IBU BERKELAKUAN BURUK SECARA TERANG-TERANGAN
Seorang ibu tidak layak mendapat hak jagaan anak-anaknya sekiranya dia mempunyai kelakuan yang buruk. Namun, ianya mestilah disokong keterangan saksi-saksi atau qarinah atau eksibit-eksibit bagi menyokong pengataan-pengataan
IBU CUAI ATAU MENGANIAYA KANAK-KANAK
Sekiranya Bapa dapat membuktikan bahawa ibu kanak-kanak tersebut bersikap cuai serta itu menganiaya kanak- kanak tersebut juga adalah merupakan satu bukti kukuh yang boleh memberikan Hak Jagaan Kanak-Kanak tersebut kepada Bapa. Namun, ianya bukanlah mudah untuk dibuktikan kerana penganiayaan kanak-kanak bukanlah satu perkara yang mudah untuk dibuktikan. Mungkin Laporan Polis dan Laporan Perubatan perlulah disertakan sebagai bukti terhadap penganiayaan fizikal misalnya.
IBU KANAK-KANAK TERSEBUT TELAH BERKAHWIN LAIN
Seorang ibu juga akan hilang Hak Hadhanah, sekiranya ibu kepada kanak-kanak tersebut berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak tersebut yang mana orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, dan keadaan tersebut juga akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
Namun, Hak Ibu untuk penjagaan kanak-kanak tersebut akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.
Terdapat hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud “kamu lebih berhak selama mana kamu belum berkahwin lain“. Ini menunjukkan bahawa hak ibu itu akan hilang setelah berkahwin lain, kerana, sebagai isteri baru, tentulah tanggungjawab itu lebih kepada suami baru dan bukannya kepada anak itu
Mengikut kes Nong Azman Shah lwn. Ahood Thamar Badei [1997] 11(ii) JH 165, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa anak diserahkan kepada bapa dengan alasan seperti berikut:
i) Kemampuan bapa untuk menjaga anak serta; dan
ii) Kasih sayang kemesraan anak-anak dengan yang menuntut sudah begitu terjalin rapat dan boleh jadi mengecewakan jika dipisahkan dan boleh berlaku sesuatu akibat yang tidak baik jika dipisahkan.
IBU TELAH MURTAD
Sekiranya, ibu kepada kanak-kanak tersebut telah murtad, maka bagi memastikan kanak-kanak tersebut hidup sebagai seorang Muslim, maka Bapa berhak terhadap Penjagaan kanak-kanak tersebut.
KESIMPULAN
Sekiranya seorang bapa ingin memohon Hak Hadhanah terhadap anaknya, maka perkara yang mustahak untuk dipertimbangkan adalah kebajikan kanak-kanak tersebut. Bukanlah bermakna, sekiranya Ibu atau Bapa Kanak-Kanak tersebut mendapat Hak Hadhanah, maka mereka juga turut dinafikan Hak Untuk Melawat serta Hak Berhujung Minggu.
Namun, kebajikan kanak-kanak tersebut adalah perkara yang perlu didahulukan dari kebajikan kedua ibubapanya. Mengutamakan kebajikan anak adalah dimestikan kerana dengan itu akan dapat mencapai tujuan utama Hadhanah.