Disediakan oleh Ammar Muhammad (Disember 2021)

Undang-undang memperuntukkan, jika seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak dalam masa enam bulan atau lebih dari tarikh perkahwinan itu,  maka lelaki itu hendaklah dianggap sebagai bapa anak tersebut.

 Malah dari perspektif Hukum Syarak pula, terdapat penambahan syarat bagi menentukan status anak, yang mana kelahiran anak tersebut mestilah dalam tempoh enam bulan dua saat (lahzoh) dari tarikh akad nikah perkahwinan dengan dua  (2) syarat seperti berikut:

SYARAT PERTAMA

Syarat pertama ialah dalam tempoh perkahwinan berkenaan, suami berkeupayaan tinggal bersama isterinya itu sebagai suami isteri.

SYARAT KEDUA

Syarat kedua suami berkenaan berkeupayaan melakukan persetubuhan dengan isterinya itu

Namun, antara perkara yang akan menjadi pertimbangan Mahkamah adalah samada anak berkenaan berada dalam kandungan isteri hingga dia dilahirkan oleh isteri dari waktu akad nikah perkahwinan pihak-pihak.

Namun sekiranya, anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tarikh akad nikah, adakah boleh kita menasabkan anak tersebut kepada bapanya?

Jawapannya adalah dengan membuat Permohonan Deklarasi di Mahkamah Syariah, bagi mensabitkan anak pihak-pihak yang dilahirkan kurang dari tempoh enam bulan setelah waktu akad nikah. Sekiranya dibenarkan oleh Mahkamah, status anak berkenaan adalah sekadar anak yang sah taraf mengikut undang-undang atau peraturan-peraturan keduniaan sahaja. Sebagai penjelasan, anak berkenaan adalah anak sah taraf kepada Pemohon (Bapa/Ibu) dalam kesemua perkara melainkan dalam kuasa kewalian dan hak harta pesaka. Ini bermakna anak berkenaan itu hendaklah dinasabkan kepada bapa anak tersebut namun bapa tersebut tidak boleh menjadi wali kepadanya dan anak itu dan pemohon tidak boleh saling mempusakai

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *