Definisi
Secara ringkasnya, harta sepencarian adalah apa-apa harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama samada langsung ataupun tidak langsung dalam tempoh perkahwinan. Harta yang dikumpul sebelum perkahwinan ataupun selepas perceraian ataupun selepas kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Maka daripada definisi ini, ciri utama Harta sepencarian adalah Harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan, atas sumbangan pihak-pihak samada dari segi kewangan mahupun sokongan moral.
Dalil dan Hukum Syara’
Meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Maks ianya adalah merupakan amalan tradisi masyarakat zaman berzaman yang kemudiannya menjadi satu peraturan dan undang-undang bagi Orang Melayu.
Amalan tradisi sesuatu masyarakat sekiranya ianya tidak bertentangan dengan tuntutan Quran dan Hadis apatah lagi sekiranya kira prinsip keadilan kedua-dua pihak diutamakan selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan :
“ Orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”.
Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan diterima baik oleh masyarakat zaman berzaman, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
Peruntukan Harta Sepencarian Di Malaysia
Oleh itu, kini harta sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam bukan sahaja di Malaysia malah turut di Indonesia (dikenali sebagai Harta gono gini). Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi mendengar dan memutuskan kes berkaitan dengan Harta Sepencarian. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.
Keadaan yang membenarkan tuntutan Harta Sepencarian
Harta sepencarian boleh dibahagikan dalam tiga keadaan:
- Apabila berlakunya perceraian terhadap pasangan yang berkahwin;
- Apabila berlakunya kematian salah satu pihak, sama ada pihak suami atau pihak isteri;
- Apabila Mahkamah membenarkan permohonan poligami pihak suami (seksyen 23, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (pindaan) 2006).
Elemen Sumbangan Dalam Pembahagian Harta Sepencarian
Elemen sumbangan pihak-pihak dalam mendapatkan dan/atau memperolehi Harta Sepencarian merupakan perkara penting serta mustahak bagi Mahkamah untuk menentukan samada sesuatu pihak berhak terhadap tuntutan harta sepencarian. Sumbangan tersebut boleh dinilai dalam tiga (3) bentuk:
- Pengumpulan harta atau modal.
- Usaha ke arah menambah harta yang sedia ada.
- Sumbangan lain seperti pandangan, nasihat dan dorongan.
Jenis Sumbangan
Terdapat dua jenis sumbangan dalam harta sepencarian iaitu sumbangan langsung dan sumbangan tidak langsung.
JENIS SUMBANGAN | PERKARA |
Sumbangan Langsung (Sumbangan langsung juga dikenali sebagai sumbangan bersama di mana kedua-dua pihak mempunyai sumbangan masing-masing dalam memperolehi sesuatu harta. ) | 1) Sumbangan dalam bentuk modal (perkongsian modal) dan bantuan kewangan untuk mendapatkan sesuatu harta. Contohnya isteri memberi sejumlah wang kepada suami untuk membeli rumah, tanah, saham dan sebagainya. Kes: Roberts lwn Umi Kalthom (MLJ,1966). |
2) Sumbangan dalam bentuk tenaga. Isteri turut sama membantu suami mengusahakan tanah yang kemudiannya terdapat pengambilan tanah dan telah dibayar pampasan. Pampasan tanah dibahagikan sama rata kepada pihak-pihak Kes: Mansjur bin Abdul Rahman lwn. Kariah bte Noordin (MLJ, 1988) | |
Sumbangan Tidak Langsung (khususnya bagi isteri yang tidak bekerja, terdapat beberapa kadar pembahagian seperti 1/2, 1/3, 1/4, dan 2/3, bergantung kepada takat sumbangan tidak langsung yang diberikan) | 1) Isteri tidak bekerja tetapi merupakan isteri yang taat serta menjalankan urusan rumah tangga dengan baik sehingga suami dapat menjalankan pekerjaan dengan tenang dan berjaya. Kes : Boto’ lwn Jaafar (MLJ 1985) |
2) Isteri merupakan seorang yang berasal daripada keluarga yang berpengaruh, yang menjadi pemangkin kepada penganugerahan gelaran inidividu, projek perniagaan dan sebagainya kepada suami sehingga suami berjaya dalam perniagaan seterusnya berjaya mengumpulkan aset-aset semasa perkahwinan Kes : Tengku Anum Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein (Jurnal Hukum, 1980) |
Penyelesaian Kes Harta Sepencarian
1- Penyelesaian Melalui Perbicaraan
Penyelesaian melalui proses perbicaraan di mahkamah ini menunjukkan pembahagian yang kebanyakannya berkisar kepada pembahagian 1/2 atau 1/3 daripada jumlah nilaian harta bergantung kepada tahap sumbangan pihak-pihak yang terlibat dalam mendapatkan harta tersebut. Kebanyakan kes yang melibatkan sumbangan langsung, Mahkamah biasanya akan memutuskan pembahagian separuh daripada nilaian harta berpadanan dengan usaha atau sumbangan modal yang diberikan oleh pihak-pihak.
Kadar pembahagian harta, dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:
- Pembahagian sepertiga (1/3) atau kurang kepada isteri:
Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
- Pembahagian sama rata:
Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
- Pembahagian melebihi separuh (1/2) kepada isteri:
Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.
2- Penyelesaian Secara Sulh
Sulh merupakan antara alternatif penyelesaian kes harta sepencarian mutakhir ini. Proses sulh yang berlangsung adalah berdasarkan beberapa faktor, di antaranya:
- Masih lagi wujud perasaan kasih dan sayang suami kepada isteri apabila membenarkan isteri menetap di rumah yang masih dibayar oleh pihak suami selagimana isteri tersebut tidak berkahwin lain.
[Zaiton Aziz lwn Mohd Sidek Mohd Sarjan (No kes 05100-017-0122-2007)]
- Perjanjian persetujuan yang dicapai melalui penyerahan pemilikan sesuatu harta kepada nama anak-anak. Ini bermakna harta yang ada ditukar nama kepada nama anak-anak.
[Siti Suzana Zakaria lwn Rusdi Salleh (No kes 05100-017-0021-2007)]
- Penyelesaian sulh melalui situasi “menang-menang”. Situasi ini mungkin melibatkan pembayaran sejumlah wang bagi penyelesaian sesuatu pertikaian harta sepencarian.
[Poziah binti Mamat lwn Johari bin Abdullah (No kes 05100-017-0076-2007)]
- Nilaian harta yang sedikit juga mempengaruhi kes harta sepencarian ini diselesaikan melalui sulh.
[Nani Ilyana bt Md. Azizul Khan lwn Shamsul Baharin Mahmud (No kes 05100-017-0214-2007)]
Penyelesaian pertikaian berkenaan dengan Harta Sepencarian, kebiasaannya diselesaikan melalui kaedah-kaedah berikut.
1. Secara sulh
Melalui cara pengakuan dan penyerahan hak kepada pihak pasangan
2. Secara ansuran balik
Bagi pihak yang ingin memiliki harta tersebut, maka dia harus membayar tunai dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh pasangan
3. Secara penjualan
Bagi mereka yang tidak lagi mahu memiliki harta tersebut, makai ia perlu dijual dan diagihkan mengikut kadar yang telah dipersetujui.
4. Dibahagi dua sama rata
Bagi mereka yang bersama-sama menyumbang dalam memiliki aset tersebut.
Walaubagaimanapun, sila hubungi Peguam anda bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan meluas bagi memahami tuntutan Harta Sepencarian ini.