1.0 DEFINISI ANAK TAK SAH TARAF

Berbeza dengan Undang-Undang Sivil yang mempunyai peruntukan undang-undang khas berkenaan dengan pengesahtarafan anak luar nikah melalui Akta Kesahtarafan 1961, Undang-Undang Keluarga Islam masih lagi menggunakan beberapa peruntukan sedia ada di dalam Akta/Enakmen Keluarga Islam. Persoalan awal, adakah dengan dengan hanya beberapa peruntukan di dalam Enakmen Keluarga Islam, hak-hak anak tak sah taraf ini terpelihara sepenuhnya?

Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah (suatu ketika dahulu masyarakat di kampung menggelarkannya sebagai anak gampang). Berdasarkan perbincangan para fuqaha’ tentang nasab seseorang anak, secara umumnya bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah ataupun persetubuhan syubhah.1

Undang-undang Keluarga Islam pula mentafsirkan anak tak sah taraf sebagai “tidak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah”.2 Secara spesifiknya, Muzakarah Fatwa Kebangsaan pula memperincikan tempoh kelahiran anak tak sah taraf iaitu kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh) iaitu selama 180 hari.3

Dalam erti kata mudahnya, sekiranya anak tersebut dilahirkan kurang daripada tempoh 180 hari iaitu tempoh minimum kelahiran bayi, maka anak tersebut adalah merupakan anak tidak sah taraf. Adakah disebabkan status tak sah taraf ini menyebabkan anak ini tidak dapat menikmati hak-hak seperti anak yang lain?

2.0 HAK-HAK ANAK TAK SAH TARAF DI SISI ISLAM

  1. Pergaulan dan Hubungan Sesama Keluarga:

Dalam Islam, anak tak sah taraf bebas menjalin hubungan atau menjalankan aktiviti harian sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram). Melainkan lelaki tersebut telah menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri.

Perhubungan antara anak tak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

  1. Penaaman dan Nasab

Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama asma‟ ul-husna yang berpangkalkan Abdul.4 Malah, Mahkamah Persekutuan dalam kes terkini juga senada dengan idea yang sama bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinisbatkan kepada nama bapanya.5 Walaupun, kebanyakan negeri-negeri melarang penggunaaan nama sebenar anak tak sah taraf ini, Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 2008 memutuskan bahawa:

Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.”

Dengan erti kata lain, sekiranya Si Ayah mengakui bahawa anak tersebut adalah anaknya, walaupun anak tersebut dilahirkan kurang daripada 6 bulan, maka anak tersebut boleh dinasabkan kepadanya. Malah fatwa ini juga telah digazetkan pada tahun 2012 dan ianya adalah merupakan satu undang-undang yang sah, terpakai dan tidak boleh dipertikaikan keabsahannya.6

  1. Nafkah

Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Enakmen undang-undang keluarga Islam di seluruh negeri di Malaysia mempunyai peruntukan yang mewajibkan setiap wanita yang melahirkan anak tak sah taraf memberikan nafkah mengikut kemampuannya.

Misalnya seksyen 81, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, 2008, seksyen 80 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 81 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, seksyen 81 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan seksyen 81 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Perlis) 2006 masing-masing mempunyai peruntukan yang hampir sama seperti yang berikut:

Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat dirogol, mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, Mahkamah boleh memerintahkan perempuan itu memberikan apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Walaubagaimanapun, sekiranya si ibu tidak mampu menyara nafkah tersebut, kewajipan tersebut akan berpindah kepada waris ibu dan seterusnya akan ditanggung oleh pemerintah jika waris ibu juga berhalangan untuk memberikan nafkah. Peruntukan undang-undang jelas mengiktiraf, memelihara dan melindungi hak anak tak sah taraf meskipun terdapat beberapa kelemahan dari aspek pelaksanaannya. 7

  1. Penjagaan:

Hubungan nasab (keturunan) anak tak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa:

Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu

  1. Harta pusaka:

Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan. 8 Namun seperti yang dibincangkan sebelum ini, pewartaan Fatwa Negeri Perlis berkenaan dengan Anak Tak Sah Taraf pada tahun 2012, bukan sahaja membenarkan anak tak sah taraf dinasabkan kepada bapanya bahkan secara automatik memberi kebenaran kepada anak tak sah taraf ini memiliki harta pusaka ayahnya yang telah mati.

  1. Perwalian:


Hak perwalian diri anak tak sah taraf terletak kepada ibunya. Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tak sah taraf perempuan dipegang oleh wali hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan.

Sabda Rasulullah S.A.W: Maksudnya:

Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi) Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.

Dalam kes Siti Nur Azira binti Hj. Abdul Ghani9, bapa Pemohon, Hj. Abdul Ghani telah bersekedudukan dengan ibunya, Norhayati binti Teh Idris tanpa dokumen perkahwinan yang sah. Tujuan permohonan tersebut adalah untuk menentukan status kesahtarafan anak dan kebenaran wali hakim sebagai wali nikah. Pada 13 Ogos 2012, mahkamah memutuskan bahawa pemohon, Siti Nur Azira binti Hj. Abdul Ghani yang lahir pada 9 September 1987 merupakan anak tak sah taraf Hj. Abdul Ghani dan wali nikah pemohon berpindah kepada wali hakim. Dalam kes Ibrahim bin Mat Isa , pemohon telah berkahwin dengan Sarbiah binti Kechik pada 10 Ogos 1989. Pada 29 Disember 1989, isteri pemohon telah melahirkan anak yang diberi nama Faizahnur binti Ibrahim. Pemohon mengakui anaknya telah dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah selepas perkahwinannya. Permohonan tersebut bertujuan untuk menentukan status kesahtarafan anak tersebut. Pada 3 Jun 2014, mahkamah memutuskan bahawa Faizahnur binti Ibrahim merupakan anak tak sah taraf kepada Ibrahim bin Mat Isa dan Sarbiah binti Kechik.

  1. Perkahwinan:

Keraguan berhubung kesahan perkahwinan seorang anak tak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti memiliki hak-hak setaraf dengan anak-anak lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosa mereka tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Wajarlah diingat bahawa Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat:

Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak”

Oleh itu perkahwinan anak tak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.

  1. Urusan kematian

Kematian seorang anak tak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka di dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.

  1. Pertukaran status anak tak sah taraf:

Seseorang anak tak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.

  1. Amal kebajikan

Amal kebajikan anak tak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak tak sah taraf yang lain. Anak tak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

…dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)…

(Surah al-An‟am: 164)

KESIMPULAN

Walaupun dari perspektif Undang-Undang Islam, kita masih lagi belum mempunyai Akta/Enakmen Khas berkenaan dengan status dan hak anak tak sah taraf, sumber sandaran lain seperti Al-Quran dan Hadith juga adalah merupakan sumber utama yang boleh digunapakai oleh Mahkamah sebelum membuat keputusan.

Namun, satu keseragaman undang-udang perlulah dibuat agar memastikan hak-hak anak tak sah taraf ini terbela sepenuhnya. Pandangan Fatwa Negeri Perlis berhubung perkara yang sama perlulah diberi dinilai dan diberi perhatian walaupun ianya adalah jelas berbeza sekali dengan pandangan Fatwa Negeri-Negeri lain. Dalam setiap hal dan keadaan, hak anak-anak tak sah taraf ini perlulah dilindungi bagi menepis stigma negatif masyarakat terhadap mereka.


1 ‘Ali Abdul Rahim ‘Amir, 1433H/2012M. Ahkam al-Ishtibah fi al-Nasab fi Fiqh al-Islami. Kaherah: Dar al-Salam, hlm. 38.

2 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Kedah) 2008, seksyen 2; Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 2; Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, seksyen 2; Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, seksyen 2; dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Perlis) 2006, seksyen 2.

3 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (“Muzakarah Fatwa Kebangsaan”) yang bersidang pada 10 Jun 2003

4 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-41, 25 Jun 1998.

5 Jabatan Pendaftaran Negara & Ors v Seorang Kanak-Kanak & Ors; Majlis Agama Islam Negeri Johor (2020) 2 MLRA 487.

6 Antara alasan Majlis Fatwa Perlis pada tahun 2008 adalah dengan bersandarkan pada Hadis: Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) dan mashlahah anak yang tidak dibinkan kepada nama bapanya sedangkan adik beradik lain dibinkan dengan nama bapanya yang mana stigma negatif masyarakat pada anak tak sah taraf tersebut akan berpanjangan hingga anak itu dewasa.

7 Ahmad, Abd & Dahlan, Nuarrual Hilal Md. (2016). Kewajipan menanggung nafkah anak tak sah taraf: Satu kajian kes di Negeri Kedah. KANUN Jurnal Undang-Undang Malaysia. Kanun: Jurnal Undang-Undang Malaysia. 214-244.

8 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-41, 25 Jun 1998

9 Kes Mal No.: 02200-006-0181-2012, Mahkamah Tinggi Syariah Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *