SIAPA LAYAK TERHADAP HAK JAGAAN KANAK-KANAK (HADHANAH)

Perceraian bukan sahaja memberikan impak terhadap pasangan suami isteri, tetapi ianya turut memberikan kesan terhadap cahaya mata pasangan tersebut. Ini adalah merupakan satu contoh klasik isu yang akan timbul setelah berlakunya perceraian. Hanya segelintir sahaja bekas pasangan bersetuju dan dapat bertoleransi berhubung dengan hak jagaan, hak melawat dan hak berhujung minggu terhadap anak pasangan tersebut.

Kita tidak boleh menafikan dengan berlakunya perceraian, anak-anak kecil ini akan dahagakan kasih sayang, perhatian dan kegembiraan yang sepatutnya dikongsi bersama seisi keluarga. Ditambahkan lagi dengan pertikaian Hak Jagaan di antara Ibu dan Ayah yang berpanjangan akan semestinya memberikan kesan psikologi terhadap anak tersebut.

Acapkali apabila dibahaskan isu perceraian ianya hanya berkisarkan dengan Hak Suami dan Isteri semata-mata. Kita kurang membincangkan berkenaan dengan Hak Anak selepas berlakunya perceraian. Haruslah diingat bahawa Hak Anak yang perlu dipenuhi oleh Ibu Bapa walaupun berlakunya perceraian. Inilah konsep yang perlu difahami dalam Hadhanah iaitu selain hak penjagaan anak, keperluan asas seperti pakaian, makanan, minuman, tempat tinggal, pelajaran dan keselamatan perlulah disempurnakan. Masa depan kanak-kanak ini perlulah dijamin kerana mereka memerlukan panduan dan dorongan daripada ibu bapa walaupun telah berlakunya perceraian.

PENGERTIAN RINGKAS

Dari segi syarak, menurut Wahbah Zuhayli: Hadhanah adalah merupakan adalah merupakan Perbuatan Mendidik dan Membesarkan kanak-kanak oleh Orang yang mendapat Hak Jagaan. Ianya termasuklah jagaan pada individu-individu yang belum mumaiyiz (tidak tahu membezakan yang baik dan buruk), Orang Gila, dan Orang yang tidak berkeupayaan. Ini adalah senada dengan pendapat Imam Nawawi di dalam Raudhah At- Talibin, Mendirikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang tidak mumaiyiz dan tidak berdikari untuk dengan urusan diri sendiri, dan mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada apa yang menyakitinya.”

Sekiranya, Orang yang mendapat Hak Jagaan tidak menjalankan tanggungjawabnya maka kanak-kanak tersebut akan terabai dan terancam kehidupannya. Maka rasional terhadap pemberian Hak Jagaan kepada Ayah atau Ibu kanak-kanak ini adalah bagi memastikan hak kanak-kanak adalah terjamin dan masa hadapan mereka tidak diabaikan disebabkan perceraian di antara pihak-pihak sebelum ini.

PIHAK YANG LAYAK UNTUK HAK JAGAAN

Maka adalah sangat mustahak untuk kita menentukan individu yang berhak dan layak untuk mendapat Hak Jagaan ini bagi memastikan Hak-Hak yang dinyatakan sebelum ini terpelihara. Perkara ini telah dijelaskan lebih awal lagi oleh Nabi s.a.w. kerana Hadis Nabi adalah sesuatu yang praktikal dan menyentuh realiti kehidupan di masa dahulu dan sekarang. Antara Hadis yang dijadikan autoriti di dalam isu Hadhanah adalah:

Nabi s.a.w. telah bersabda: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya (tinggal sewaktu mengandung), puting susuku adalah tempat minumnya, dan pangkuanku adalah pelindungnya, sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah.” (Riwayah Abu Daud : 2276)

Melalui Hadis ini adalah jelas Ibu diberi keutamaan dalam isu Hak Jagaan kanak-kanak yang mana kesimpulan mudah dapat dibuat kerana ibu secara fitrahnya mempunyai lebih kasih sayang dan perhatian terhadap kanak-kanak berbanding daripada seorang ayah. Malah turutan individu yang berhak terhadap kanak-kanak tersebut selepas ibunya adalah Nenek kepada kanak-kanak tersebut.

Namun ini tidaklah sama sekali menafikan beberapa kes terpencil yang mana seorang ayah lebih menyayangi dan memberi perhatian berbanding ibu kanak-kanak tersebut. Terdapat dalam beberapa kes yang tidak dilaporkan di dalam Jurnal Undang-Undang yang mana Mahkamah berpendapat ayah kanak-kanak tersebut lebih menyayangi dan menjaga anak lebih baik berbanding ibu dengan menilai terhadap layanan kepada anak, tindakan dan perilaku ibu dalam menguruskan dan menjaga anak sebelum perceraian, akhlak ibu dan tempat tinggal yang bersesuaian dengan kanak-kanak tersebut.

Di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan, maksud hadith di atas adalah diterjemahkan di dalam Seksyen 81, Akta Undang-Undang Keluarga Islam:


(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3),hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:

(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:

HAK HADHINAH TAMAT

Selain dari itu, wajar untuk dinyatakan bahawa Hak Orang Yang Mendapat Hadhanah (Hadhinah) akan tamat sekiranya kanak-kanak lelaki tersebut berumur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 9 tahun melainkan dengan perintah Mahkamah Syariah. Setelah tamat hak hadhinah, penjagaan kanak-kanak tersebut akan bertukar kepada Bapa kanak-kanak tersebut sehinggalah kanak-kanak tersebut mumaiyiz yang mana kanak-kanak tersebut memilih untuk tinggal bersama dengan bapa atau ibunya seperti yang diperuntukkan di dalam Seksyen 84 Akta yang sama.

Pihak-pihak di dalam pertikaian Hak Jagaan perlulah turut melihat dalam perspektif yang lebih besar iaitu memastikan Hak-Hak dan masa depan kanak-kanak tersebut adalah terjamin. Pada masa yang sama, pihak-pihak turut mendapat Hak Untuk Lawatan, Hak Berhujung Minggu, Hak Berhari Raya dan bersama ketika Cuti Sekolah. Maka, sekiranya ibu telah diputuskan lebih berhak untuk Hadhanah, tidaklah bermakna seorang ayah tersebut dinafikan terus hak untuk melawat dan berjumpa kanak-kanak tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *