Keganasan Rumah Tangga. Bagaimana Penyelesaian Menurut Undang-undang?

Keganasan rumah tangga bukanlah satu isu baru, tetapi isu lapuk yang berpanjangan dan seolah-olah tiada kesudahannya. Antara asas sesuatu undang-undang digubal adalah untuk membendung perlakuan jenayah dilakukan terhadap masyarakat. Namun, sejauh mana keberkesanan penggubalan sesuatu undang-undang dalam membendung Jenayah Keganasan Rumah Tangga di Malaysia perlulah kita nilai dengan melihat peruntukan di dalam seusuatu undang-undang agar masyarakat cakna terhadap hak dan perlindungan yang ada.

Pelbagai peruntukan undang-undang telah diperkenalkan bagi membendung jenayah keganasan rumah tangga iaitu seperti Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Akta Memperbaharui (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Wanita Berkahwin 1957, Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994

Melalui Akta ini, bagi memastikan pasangan, bekas pasangan, kanak-kanak, orang dewasa yang tidak berkeupayaan ataupun ahli keluarga mangsa diberikan Perintah Perlindungan ileh Mahkamah termasuklah suami dan bekas suami. Walaupun pihak-pihak masih lagi dalam perkahinan, Akta ini membenarkan Mahkamah untuk menghalang dan/atau menegah mana-mana pihak daripada memasuki rumah kediaman atau berkomunikasi dengan pihak satu lagi. Walaubagaimanapun, ianya hanyalah dalam tempoh 12 bulan sahaja dan mangsa akan diganggu kembali selepas tempoh 12 bulan tersebut.

Maka, Perintah Perlindungan di bawah Akta ini juga hanyalah bersifat sementara sahaja. Pihak-pihak yang masih dalam perkahwinan boleh berbincang semula menyelesaikan masalah kerana perkahwinan masih lagi wujud. Namun, malang sekali Akta ini hanyalah terpakai di Mahkamah Sivil sahaja walaupun bagi Orang Islam isu pertikaian keluarga ini merupakan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Maka, pertikaian sedia ada di Mahkamah Syariah perlulah dibawa ke Mahkamah Sivil bagi pihak-pihak yang ingin mendapatkan Perintah Perlindungan di bawah Akta ini.

Pada tahun 2017, Parlimen telah meminda Akta ini, dengan membuat beberapa penambahbaikan dengan memperkenalkan Perintah Perlindungan Kecemasan yang dibuat secara ex-parte (satu pihak sahaja) selama 7 hari dan boleh dipohon terhadap perlakuan yang menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal mahupun apa-apa menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan dicederakan.

Pihak yang mencederakan akan diminta keluar dari rumah kediaman selama 7 hari, dan sekiranya dia gagal berbuat sedemikian, dia bakal berdepan dengan penjara selama enam bulan hingga setahun. Mangsa bolehlah berhubung dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.

Kanun Keseksaan

Akta Am yang membendung kegiatan dan/atau perlakuan Jenayah adalah Kanun Keseksaan yang bermodelkan Kanun Keseksaan dari India semenjak 1936 lagi. Peruntukan khusus berkenaan dengan keganasan rumah tangga hanyalah diperkenalkan pada 2017, Seksyen 326A diperkenalkan dengan memperkenalkan hukuman terhadap Jenayah mencederakan pasangan suami-isteri, bekas pasangan suami-isteri, kanak-kanak, orang yang tidak berkeupayaan yang mana Pelaku Jenayah tersebut dipenjarakan dalam tempoh yang boleh melebihi dua kali ganda daripada hukuman penjara di bawah Seksyen 323, 324, 325, 326, 334, 335.

Ini adalah salah satu komitmen tegas kerajaan dalam membendung jenayah ini berleluasa. Sebelum penggubalan seksyen ini, Pelaku Jenayah ini akan dituduh di bawah Seksyen 323 dan 325 atas mendatangkan kecederaan. Maka peruntukan spesifik 326A Kanun Keseksaan ini memberi perlindungan khas bagi jenayah-jenayah keganasan di dalam rumah tangga.

Apa Perlu Dilakukan oleh Mangsa?

Mangsa mungkin faham dan sedar berkenaan dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada sebenarnya adalah cukup untuk membendung jenayah ini. Namun, hakikatnya kebanyakan mangsa akan berbelah bagi untuk membuat apa-apa tindakan hanyalah atas alasan mudah iaitu masih sayangkan hubungan perkahwinan, masa depan suami isteri dan anak-anak serta risaukan persepsi masyarakt. Banyak kes yang pernah didakwa sekalipun, kemudiannya tidak dapat diteruskan di Mahkamah kerana mangsa tidak mahu hadir memberikan keterangan semasa perbicaraan kerana masih sayangkan Pelaku Jenayah, iaitu suami kepada mangsa. Maka, sekiranya mangsa tidak mahu melaporkan jenayah ini ataupun tidak mahu bekerjasama anda sebagai rakan mahupun jiran perlu tampil kehadapan bagi mencegah keganasan ini.

Pelbagai pihak samada Kerajaan mahupun NGO telah memberikan beberapa saranan dan langkah untuk berhadapan dengan Keganasan Rumah Tangga. Antaranya adalah:

  1. Membuat Laporan Polis di Balai Polis berhampiran. Kebiasaannya pihak polis dengan segera akan meminta mangsa ke Hospital Kerajaan untuk pemeriksaan kesihatan.
  1. Membuat pengaduan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan yang berhampiran;
  1. Menghubungi talian Teledera 1 800 88 3040 ataupun Woman Aid Organization: 03-7956 3488 / 018 988 8058 (24 Jam)
  1. Merujuk terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederakan untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor. Hospital mempunyai Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital-hospital kerajaan yang terletak di wad kecemasan dan trauma untuk mangsa membuat laporan.

Walaubagaimanapun, kewujudan pelbagai akta dan langkah-langkah yang dicadangkan ini adalah tiada gunanya sekiranya perlaksanaan dan komitmen menyeluruh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pihak Polis dan masyarakat dalam melaksanakan undang-undang yang sedia ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *